Najib lawan balik kritikan Dr Mahathir mengenai BRIM

Menyamakan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dengan dedak (makanan haiwan) ialah satu penghinaan, kata Perdana Menteri Najib Abdul Razak malam semalam.

Beliau juga berkata negara-negara lain turut menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat mereka, tetapi dengan menggunakan nama yang berbeza-beza, lapor Bernama.

“Sesetengahnya merujuk polisi pemberian BRIM sebagai tindakan yang kejam dan satu bentuk rasuah, (sama seperti memberi makanan kepada haiwan).

“Pemberian BRIM tidak boleh disamakan dengan memberi haiwan makan,” Najib berkata sewaktu Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia.

“Apabila rakyat menerima BRIM, kita sebenarnya sedang merangsang ekonomi tempatan kerana rakyat akan menggunakan wang tersebut untuk membeli barang,” dipetik daripada kata-katanya.

Pengkritik nombor satu Najib, Dr. Mahathir Mohamad, dan mereka yang sealiran dengannya, kerap kali menuduh mereka yang menyokong Perdana Menteri sebagai makan dedak.

Sementara itu, Najib turut dilaporkan memberi amaran bahawa “rusuhan dan kacau-bilau” akan menghalang Malaysia daripada mengadakan sambutan perayaan.

Beliau berkata kestabilan politik dalam negara merupakan satu faktor yang penting yang membolehkan sambutan sedemikian berterusan diadakan.

“Saya tegaskan bahawa jangan biarkan rusuhan dan kacau-bilau yang berlaku di negara lain berlaku di negara kita sampai ke tahap di mana kita tidak boleh lagi mengadakan sambutan perayaan,” beliau dilaporkan berucap.

Bersih sebelum ini berkata akan adanya satu lagi perhimpunan pada masa akan datang, berikutan tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman AS untuk menyita aset yang didakwa dibeli dengan wang yang disalah gunakan daripada 1MDB.

Akan tetapi Najib dilaporkan berkata malam semalam bahawa keamanan dan keselamatan tidak boleh dipandang rendah memandangkan negara ini masih belum lagi bebas daripada ancaman keselamatan seperti daripada kumpulan pengganas Islamic State.

Kemungkinan besar BRIM masih akan diberi pada tahun 2018.