BRIM tidak sampai sebulan dihabiskan penerima

Sebuah tinjauan di seluruh negara yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penyelidikan baru-baru ini mendapati bahawa majoriti warga Malaysia menghargai usaha kerajaan menyediakan subsidi menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan tidak menganggap ianya sebagai satu bentuk rasuah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Tinjauan yang dijalankan oleh Kajidata Research Sdn Bhd terhadap 1,031 orang penerima dan bukannya penerima BRIM di bawah penyeliaan Profesor Datuk Syed Arabi Idid mendapati bahawa 68.7% responden menerima baik BRIM dengan 63.9% menolak pandangan bahawa ianya merupakan satu bentuk rasuah.

Arabi yang berkongsi penemuan tersebut bersama Bernama berkata, ianya sesuatu yang tidak mengejutkan apabila 71.1% responden berpandangan bahawa BRIM, yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012, harus diteruskan pada masa depan.

“Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, 65.1% responden mengakui bahawa BRIM membantu meringankan beban kewangan mereka sementara 25.6% berkata sebaliknya,” kata bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan penasihat Kajidata itu.

“Lebih separuh daripada responden gembira dengan bantuan BRIM berjumlah sehingga RM1,200 kepada kumpulan sasaran itu.

“Walau bagaimanapun, 33.8% beranggapan bahawa BRIM gagal memenuhi matlamatnya.

Apa yang menarik, 80% penerima menggunakan wang BRIM untuk membeli barang keperluan asas dengan 85.3% daripada mereka menghabiskan subsidi tersebut dalam tempoh sebulan,” kata Arabi.

Kajian itu yang dijalankan dari 20 -27 Februari lalu mendapati bahawa ada antara mereka menggunakan wang BRIM untuk membayar bil bulanan dan membiayai persekolahan anak-anak mereka.

Kajian itu juga mendapati sewaktu pemberian BRIM sebelum ini, ada yang hidup berjimat dengan membelanjakan wang tersebut dalam tempoh yang lebih lama iaitu sehingga 3 bulan dan ada juga yang menabung.

Tinjauan Kajidata juga menunjukkan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan perlu mendaftar dengan pihak berwajib supaya wujudnya pangkalan data menyeluruh berkenaan dengan golongan yang memerlukan ini.

Arabi dan pasukannya juga mendapati bahawa maklumat daripada pangkalan data itu boleh digunakan untuk menyediakan program bantuan mengikut keperluan kumpulan sasaran dan memantau kemajuan mereka.

“Sebagai contoh, mungkin terdapat antara mereka yang memerlukan lebih lagi daripada apa yang diberikan BRIM oleh itu mereka boleh dirujuk kepada lembaga zakat yang menyediakan bantuan dengan bentuk yang berbeza.

“Memandangkan pendapatan mereka juga dipantau oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, maka mudahlah untuk mengenal pasti mereka yang berjaya keluar daripada masalah kewangan dan tidak lagi memerlukan bantuan termasuklah BRIM,” katanya.

Tinjauan Kajidata dijalankan melalui temu bual telefon merentasi 222 kawasan Parlimen termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Responden dipilih daripada pelbagai peringkat umur, tahap pendapatan, latar belakang pendidikan, kaum dan jantina.